| 4 comments |

Sunday, January 17, 2010

"Pendidik Atulai"


Khas Buat Guru-Guru di Pedalaman

Dalam membela anak bangsa
mengenal huruf, mengira, menulis, mengenal Alif Ba Ta
Mengharungi sungai, belukar dan lurah
mendaki bukit, menuruni lurah,
mengharungi laut bergelora dan ombak panas yang menerjah
Engkau berada nun jauh di pedalaman
Kau adalah Pendidik Atulai
Kau berada di mana-mana
di pedalaman dan di pulau
dengan satu impian mendidik anak bangsa
dan merapatkan jurang perbedaan
pedalaman dan bandar
Engkau mengangkat martabat keguruan
dan melonjakkan kecemerlangan pendidikan di pedalaman
Kerana itulah perjuangan
Dan engkau tidak pernah mengaku kalah
walaupun kadang-kadang engkau merasa kecewa
Tapi tidak pernah berputus asa
Pendidik Atulai....
Semangatmu membara
jati dirimu kental
Dan harapan membina modal insan
engkau bukan sekadar pendidik
Tapi engkau juga adalah pembela anak bangsa
nun di pedalaman
Pendidik Atulai....
Teruskan perjuanganmu
dalam membina anak bangsa
dan kecemerlangan pendikan
kalau bukan kau Atulai
siapa lagi...
Dalam mengangkat martabat anak bangsa
nun jauh di pedalaman
kalau bukan sekarang wahai Atulai
bila lagi...
Senyum dan tangis anak didikmu
adalah petanda segunung harapan
kalau bukan di sana kau mulakan
di mana lagi...
Pendidik Atulai....

Jame Alip ...read more ⇒
| 0 comments |

Friday, January 1, 2010

Salam Tahun Baharu


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum W.B.T.

Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T. kerana dengan izin-Nya kita telah melangkah ke tahun 2010. Marilah kita memasuki gerbang tahun baharu ini dengan iltizam yang tinggi dan tekad yang padu untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cemerlang dan berkualiti.

Berlalunya 2009 meninggalkan pelbagai suka duka dalam arena kehidupan dan profesion kita apatah lagi dunia pendidikan yang diwarnai dengan aneka macam peristiwa serta cabaran. Segala peristiwa pahit lalu dijadikan tauladan bukan sahaja kepada pihak KPM malah juga kepada warga pendidik dan masyarakat semua.

Sewajarnya apa yang berlaku sepanjang tahun 2009 seharusnya dijadikan sebagai pedoman bagi meneruskan kesinambungan perjuangan kesekian kalinya, lantas memikul amanah bangsa untuk terus menjadi wadah kepada generasi akan datang.

Kejayaan dan kecemerlangan tahun 2009 pula merupakan suntikan semangat dalam proses mengembalikan kemantapan sukan, seni dan kokurikulum sekolah.  Namun dengan kejayaan dan kecemerlangan ini pula, jangan sekali-kali menjadikan kita alpa sehingga terabai tanggungjawab yang diharapkan oleh semua lapisan masyarakat.

Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada guru-guru supaya sentiasa mengutamakan 3K : Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan murid-murid dalam setiap program dan aktiviti luar bilik darjah.  Tumpuan dan penekanan terhadap 3K ini hendaklah sentiasa diamalkan agar segala program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna. 

Akhir kata, saya menyeru kepada semua warga pendidik keseluruhannya, khusus warga KPM agar terus memelihara dan memartabatkan imej pendidikan.  Bangkitlah menyahutnya dengan satu semangat untuk kepentingan agama, anak bangsa dan negara pada masa hadapan!

"Mengangkat Martabat Guru dan Memperkasakan Pendidikan Negara KALAU BUKAN KITA SIAPA LAGI DAN KALAU BUKAN SEKARANG BILA LAGI"

Selamat Menyambut Tahun Baharu 2010...
...read more ⇒