| |

Wednesday, February 17, 2010

...Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung...


 


Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Wabarahmatullahi Wabarakatuh...

Tanggal 1 Februari 2010 membuka ruang kepada saya untuk menjangkau langkah yang lebih luas ke dunia Kementerian Pelajaran Malaysia.   Tarikh ini memberi erti kepada saya kerana penghijarahan saya dari Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum (BSSK) ke Bahagian Buku Teks (BBT) memberi peluang kepada saya untuk meningkatkan pengalaman dan pengetahuan dalam kerjaya saya di sektor pendidikan. Dalam tempoh masa satu tahun enam bulan berkhidmat di BSSK, saya telah memperolehi pengalaman yang sangat berharga.  Semoga segala usaha dan perjuangan saya untuk membangunkan sukan sekolah dapat diteruskan dengan semangat yang kental dan jitu.

Saya mengambil kesempatan  di sini untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan KPM kerana telah memberi ruang untuk saya memajukan lagi diri dalam kerjaya saya.  Tidak lupa juga ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada agensi-agensi sukan, Persatuan Sukan Kebangsaan, NGO, Majlis Sukan Sekolah Negeri, Badan Berkanun dan agensi-agensi kerajaan yang pernah berganding bahu dan menghulurkan kerjasama dalam usaha memperkasakan sukan Negara. Saya juga memohon maaf jika saya tidak dapat menunaikan harapan semua pihak yang terlibat.  Segala salah dan silap atau terlanjur kata daripada saya, harap dimaafkan.

Kepada warga BSSK, saya berharap agar dapat meneruskan tugas dan tanggungjawab dengan lebih dedikasi.  Teruskan perjuangan dalam menempuh cabaran demi membangunkan anak bangsa melalui pembangunan sukan, seni dan kokurikulum.  Harus kita sedari hasrat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek (JERI) terletak di dalam kegiatan sukan dan kokurikulum.  Begitu juga dalam membangun modal insan secara holistik, kita harus melahirkan pelajar bukan sahaja pandai tetapi cerdik, dan bukan sahaja bijak, tetapi bijaksana.  Dan melalui sukan dan kokurikulumlah kita  dapat merealisasikan impian ini.  Kalau bukan kita di BSSK, siapa lagi? Dan kalau bukan sekarang kita mulakan, bila lagi?  Terima kasih di atas sokongan dan semangat yang didorongkan kepada saya dalam menempuh cabaran di BSSK.  Ingatlah pesanan saya ini:

“BERKERJA LUAR BIASA HASILNYA LUAR BIASA”. 

"JADILAH BENIH YANG BAIK, JIKA DIBUANG KE LAUT MENJADI PULAU, JIKA DIBUANG DI HUTAN MENJADI POKOK YANG BERBUAH LEBAT DAN MANIS". 

“JADILAH SEBAGAI POKOK DI TEPI JALAN BERBUAH LEBAT.  WALAUPUN DIBALING DENGAN KAYU ATAU BATU NAMUN DIBALASNYA DENGAN BUAH YANG MANIS”.

Kepada semua warga BBT saya berharap dapat bekerja bersama dalam merealisasikan Visi BBT dan menjadikan konsep "Delivery System" lebih berkualiti dan berkesan.    Teruslah bersama saya melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

Sekian daripada saya,
 JAME ALIP

1 comments:

aisyahms said...

salam.tahniah tuan. wah beralih ke buku teks pula ya. semua adalah pengalaman yang memberi semangat kan :)..

semoga kami dapat mengikut jejak langkah tuan. doakan kami. :)

aisyah, ranau :)