Assalamualaikum W.B.T.
Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T. kerana dengan izin-Nya kita telah melangkah ke tahun 2010. Marilah kita memasuki gerbang tahun baharu ini dengan iltizam yang tinggi dan tekad yang padu untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan cemerlang dan berkualiti.
Berlalunya 2009 meninggalkan pelbagai suka duka dalam arena kehidupan dan profesion kita apatah lagi dunia pendidikan yang diwarnai dengan aneka macam peristiwa serta cabaran. Segala peristiwa pahit lalu dijadikan tauladan bukan sahaja kepada pihak KPM malah juga kepada warga pendidik dan masyarakat semua.
Sewajarnya apa yang berlaku sepanjang tahun 2009 seharusnya dijadikan sebagai pedoman bagi meneruskan kesinambungan perjuangan kesekian kalinya, lantas memikul amanah bangsa untuk terus menjadi wadah kepada generasi akan datang.
Kejayaan dan kecemerlangan tahun 2009 pula merupakan suntikan semangat dalam proses mengembalikan kemantapan sukan, seni dan kokurikulum sekolah. Namun dengan kejayaan dan kecemerlangan ini pula, jangan sekali-kali menjadikan kita alpa sehingga terabai tanggungjawab yang diharapkan oleh semua lapisan masyarakat.
Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada guru-guru supaya sentiasa mengutamakan 3K : Keselamatan, Kesihatan dan Kebajikan murid-murid dalam setiap program dan aktiviti luar bilik darjah. Tumpuan dan penekanan terhadap 3K ini hendaklah sentiasa diamalkan agar segala program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.
Akhir kata, saya menyeru kepada semua warga pendidik keseluruhannya, khusus warga KPM agar terus memelihara dan memartabatkan imej pendidikan. Bangkitlah menyahutnya dengan satu semangat untuk kepentingan agama, anak bangsa dan negara pada masa hadapan!
"Mengangkat Martabat Guru dan Memperkasakan Pendidikan Negara KALAU BUKAN KITA SIAPA LAGI DAN KALAU BUKAN SEKARANG BILA LAGI"
Selamat Menyambut Tahun Baharu 2010...

0 comments:
Post a Comment